KWSP minta pencarum semak penyata kira-kira

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan kempen media untuk menggalakkan ahli menyemak penyata kira-kira bagi memastikan simpanan KWSP mereka berada dalam keadaan teratur.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata kempen mulai esok hingga 14 Jun itu bagi memberi kesedaran kepada ahli mengenai kepentingan menyemak penyata KWSP bagi memastikan majikan membayar caruman mengikut jadual.
“Jika terdapat sebarang keraguan, ahli perlu mendapatkan penjelasan segera daripada majikan atau membuat laporan kepada KWSP,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, baru-baru ini KWSP sudah mengedarkan lebih 6.4 juta penyata kira-kira ahli bagi tahun 2010.

“Semua penyata kira-kira dihantar kepada ahli melalui alamat kediaman seperti yang didaftarkan dalam rekod KWSP ini bagi memastikan penyata mengandungi maklumat sulit tidak jatuh kepada pihak lain.

“Oleh itu, adalah penting bagi ahli yang sudah berpindah untuk segera mengemaskini rekod alamat mereka dengan KWSP,” katanya.

Nik Affendi berkata, KWSP turut menyediakan Kios KWSP di cawangan KWSP dan premis pihak ketiga seperti Institut Jantung Negara (IJN), serta cawangan bank terpilih antaranya RHB Bank, RHB Islamic Bank, Ambank, dan CIMB Bank.
“Sebagai pilihan, ahli boleh menyemak dan mencetak penyata kira-kira dengan mendaftar di i-Akaun KWSP yang boleh diakses melalui laman web myEPF yang menyediakan kemudahan untuk menyemak butiran akaun secara dalam talian 24 jam sehari atau mengikut kehendak mereka,” katanya

Ahli juga boleh mendapatkan penyata kira-kira di setiap cawangan KWSP dengan hanya mengemukakan myKad mereka tetapi sebagai langkah keselamatan mereka tidak dibenarkan mendapatkan penyata kira-kira melalui telefon. – BERNAMA /Bharian